image

Dengan menggunakan pelbagai lapisan subteks dalam penceritaannya, beliau menggunakan watak Luqman bagi mengetengahkan pelbagai isu. Antaranya tentang bahasa, seni budaya, cara hidup dan hati nurani orang Melayu yang dilihat semakin terhakis sejak akhir-akhir ini.

Isu-isu psikik itu yang banyak melingkari orang Melayu malah kaum juga wajar ditelusuri biarpun secara separa sedar menerusi filem yang dijangka ditayangkan di pawagam seluruh negara sekitar Ogos ini.

Meskipun kisah perasaan kasih sayang antara suami isteri dan cinta tiga segi merupakan plot terbesar yang melatari perjalanan filem ini tetapi itu hanyalah lapisan luaran yang sengaja digambarkan di layar skrin.

Sebaliknya Dr. Mahadi mahu mengajak para penonton menghayati inti pati tentang isu kegoyahan bahasa Melayu yang juga semakin dipinggirkan malah diperlekehkan kredibilitinya terutama dalam kalangan generasi muda pada hari ini.

Watak Luqman lakonan Wan Hanafi Su menggalas tanggungjawab itu sebagai seorang pensyarah dan tokoh bahasa yang sentiasa tercabar apabila perjuangannya dalam usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan selalu diuji.

Dari sini para penonton sudah dapat membaca permainan Dr. Mahadi dalam mengutarakan permasalahan itu yang tidak habis-habis terpalit dengan pelbagai polimik yang tidak berkesudahan.

Secara sinis, ada suara-suara sumbang yang mengatakan menonton filem terbitan Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia yang menelan kos produksi dan promosi berjumlah RM1.3 juta ini seakan-akan sekadar menikmati sebuah drama televisyen.

“Biarlah orang melihat Luqman seperti sebuah naskhah yang kecil tetapi saya mahu cerita dan mesej yang mahu disampaikan di dalamnya berjiwa besar,” katanya.

Pada pratonton Luqman yang diadakan di Pawagam Mini P. Ramlee, Finas, Hulu Kelang, Selangor itu filem dengan durasi hampir dua jam ini wajar diberi perhatian para penonton.

Harapan dan perlambangan yang tinggi diketengahkan tentang isu bahasa, misalnya menerusi watak Luqman yang sangat berkobar-kobar dalam memperjuangkan bahasa ibundanya sehingga mendapati seolah-olah pendeta Za’ba (Zainal Abidin Ahmad) muncul dan berada di depannya.

Dengan menampilkan barisan pelakon popular seperti Raja Ilya dan Josiah Hogan, pengarah veteran ini bijak dalam membuai penghayatan para penonton menerusi banyak adegan yang romantik.

Banyak juga metafora yang cuba ditampilkan oleh pensyarah di sebuah universiti awam ini terutama membabitkan watak Luqman dan isterinya, Ayu Kencana yang dilakonkan Raja Ilya.

Isu perkahwinan yang banyak musnah kerana faktor usia, mengejar kebendaan dan mengutamakan kerjaya antara yang banyak berlaku dalam kes-kes perceraian di negara ini.

Namun Dr. Mahadi sekali lagi menunjukkan permainannya apabila cuba menongkah arus melalui watak Luqman dan Ayu yang mempunyai jarak usia umpama abang dan adik tetapi cinta itu berpadu sehingga ke akhir filem ini.

Beliau juga seboleh-bolehnya mahu menggambarkan tidak semua wanita muda berkahwin dengan lelaki berusia yang stabil ekonominya kerana mahu mengejar kebendaan semata-mata.

Watak Ayu telah dipergunakan dalam filem ini bagi membetulkan persepsi itu agar pasangan suami isteri yang tidak sebaya usia juga mampu mencari keserasian dalam melayari rumah tangga.

Seorang pemuda sebaya dengan Ayu yang muncul dalam hidup wanita muda yang mempunyai keghairahan tinggi dalam seni tari juga kemudiannya telah mencetuskan konflik dengan Luqman.

Pengarah Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-12 pada 1996 melalui filem Sayang Salmah juga bijak dalam mengembangkan plot serta mencetuskan teka-teki di hati para penonton.

“Saya sengaja menggarap klimaks cerita dalam bentuk tanda tanya untuk mencabar minda para penonton. Kalau di India, pawagam yang menayangkan klimaks filem sebegini mungkin akan dibakar oleh penonton,” ujarnya.

Luqman yang menampilkan Hafiz Askiak dan Andi Alias selaku penggubah muzik latar serta bunyi merupakan satu lagi skrip yang juga tulisan Dr. Mahadi sarat dengan nilai pemikiran terutama membabitkan isu-isu semasa.

Dengan gaya garapan yang tidak membosankan terutama baris-baris dialog yang dilontarkan oleh para pemegang watak dalam filem ini amat mengesankan serta mempunyai perlambangannya yang tersendiri, bukan setakat dialog kosong semata-mata.

Malah elemen cinta, konflik dan gabungan pelbagai nilai pemikiran yang diketengahkan dalam Luqman merupakan gabungan ramuan yang mampu memberi makna bagi penonton yang mahukan cabaran dalam menghayati sesuatu karya di layar lebar.

*Originally published here

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s