belah02_1472850688
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my
 
Bajet bukan kekangan dalam berkarya. Buktinya, pengarah tersohor Dr Mahadi J Murat bakal tampil dengan filem terbaru berjudul Luqman yang akan menemui penonton Disember ini.

Mahadi yang kini bergelar Pengarah Citra Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menghasilkan Luqman dengan kerjasama 15 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan dua lulusan pusat pengajian tinggi itu.

“Mereka kata nak buat praktikal. Saya tegaskan kalau nak, kenalah buat filem betul-betul. Jadi, saya pun menulis skrip filem ini.

“Saya cuba penuhi keinginan mereka dengan menghasilkan sebuah filem bajet. Saya asah bakat mereka agar tahu selok-belok industri.

“Mereka berjaya memperolehi pengalaman baru menerusi pembikinan Luqman,” katanya ketika ditemui di program apresiasi filem Luqman di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), baru-baru ini.

Luqman menampilkan pelakon Wan Hanafi Su, Raja Ilya dan Josiah Hogan. Seperti filem arahan terdahulunya, Sayang Salmah, Mahadi mengangkat nilai patriotisme dalam karya ini.

“Kalau anda melihat kerja saya, perkara yang difikirkan ialah subteks. Saya mengingatkan masyarakat agar menghargai warisan dan amanah kita sebagai satu bangsa satu warganegara.

“Saya memperlihatkan Ayu lakonan Raja Ilya dan Luqman (Wan Hanafi Su) ada semangat nasionalisme yang berbeza antara dua generasi.

“Luqman mahu mempertahankan warisan manakala Ayu pula mahu bergerak ke hadapan. Filem ini mengetengahkan pelbagai isu seperti bahasa, seni budaya, cara hidup dan nurani orang Melayu yang semakin terhakis mutakhir ini.

“Filem ini turut membicarakan psikik Melayu. Kalau kita lihat sajak yang dibacakan Luqman berkisar tanggungjawab terhadap negara,” katanya.

Filem yang menjalani penggambaran pada 2013 itu mengangkat tema kasih sayang antara suami isteri yang turut dibelenggu cinta tiga segi.

Bagaimanapun, itu hanya lapisan luaran yang sengaja digambarkan kerana Mahadi mempunyai visi lebih besar iaitu mengajak penonton berbicara mengenai isu goyah bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Luqman mengisahkan pertembungan nilai cinta sejati di antara seniman berjiwa besar, Luqman dan penari rupawan, Ayu Kencana.

Mereka ditakdirkan berkahwin namun bahtera yang dibina berdepan konflik hingga menggugat kasih sayang.

“Luqman seorang pensyarah dan tokoh bahasa yang berasa tercabar apabila perjuangannya memartabatkan bahasa kebangsaan selalu diuji.

“Ia sebuah naskhah yang memikat, meruntun rasa, bergerak atas landasan keindahan dan metod lakonan mengagumkan,” katanya.

Menurutnya, filem terbitan Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia yang menelan belanja RM1.3 juta termasuk promosi itu mungkin dilihat sebagai karya kecil tetapi memiliki mesej yang sangat besar.

“Filem ini ada mengupas soal merdeka. Ia merdeka yang kita faham dan sepatutnya buat. Karya ini berdiri di atas plot dan watak.

“Ada sesetengah babak, plot yang ditampilkan mengubah naratif. Ini ilmu yang saya beri kepada pelajar bagaimana mahu membentuk karakter, subjek dan banyak lagi,” kata Mahadi.

Berbekalkan pengalaman luas sebagai pengarah, Mahadi bijak membuai jiwa penonton menerusi adegan romantik dan perlambangan.

Ketika penonton menjangkakan ada sesuatu berlaku di antara Ayu dan Marwan, Mahadi menunjukkan permainan liciknya menongkah arus dengan menampilkan sesuatu yang berbeza.

Ayu tampil dalam imej positif apabila tidak semua wanita muda berkahwin dengan lelaki berusia untuk mengejar kemewahan semata-mata.

Karakter ini membuktikan perbezaan usia bukan penghalang dalam mencari keserasian dalam melayari rumah tangga.

Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia 12 pada 1996 menerusi Sayang Salmah ini bijak bermain dengan plot yang membuatkan penonton berteka-teki kesudahan cerita ini.

Garapan cerita menarik serta lakonan berkesan semua barisan pelakon terutama Wan Hanafi Su dan Raja Ilya berjaya menghidupkan naskah ini.

“Saya harap filem ini diterima baik penonton. Pada era ini, persoalan begini sudah jarang disentuh. Kita hanya fikirkan keuntungan dan hanya buat apa yang peminat mahu tonton.

“Seharusnya filem menjadi suara kepada keinginan kita. Filem juga mewakili suara sebahagian masyarakat.

“Tak mengapa kalau gagal meraih kutipan besar kerana niat kami lebih besar daripada itu,” katanya yang bersyukur mendapat bantuan daripada FINAS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:11 AM

*Originally published here.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s